المُستَقِيApa itu Takaful?
Takaful adalah kata
terbitan bahasa arab “kafala” yang bermaksud “jamin” dan perkataan
Takaful membawa maksud saling menjamin. Istilah Takaful telah digunapakai dalam
konteks insurans secara Islam. Ia merupakan satu perjanjian antara sekumpulan
peserta untuk saling menjamin antara satu sama lain apabila berlakunya musibah
atau kerugian tertentu.
Konsep saling
menjamin atau insurans ini telah wujud sekian lama. Salah satu daripadanya
ialah penggunaan konsep “Aqilah” yang digunapakai oleh masyarakat Arab
jahiliyah. Keadaan bangsa Arab yang tinggal dalam bentuk kesukuan atau kabilah
membolehkan amalan ini dilakukan. Sekiranya berlaku pergaduhan dan menyebabkan
kematian satu pihak maka pihak yang membunuh akan dikehendaki membayar ganti
rugi kepada keluarga orang yang terbunuh. Bayaran ganti rugi itu akan dikutip
di kalangan ahli suku atau Kabilah si pembunuh. Ia merupakan satu bentuk
jaminan yang wujud pada ketika itu.
Takaful yang wujud
pada hari ini pula adalah Takaful berbentuk perniagaan (Tijari) di mana
sebuah syarikat menjalankan satu bentuk perniagaan yang bertujuan untuk
memberikan jaminan yang berlandaskan Syara’ iaitu terhindar daripada
unsur Riba (bunga), Maisir (perjudian)
dan Gharar(ketidakpastian). Untuk tidak terlibat dengan unsur-unsur
tersebut, perniagaan Takaful menggantikannya dengan konsep Tabarru’ (derma)
dan perjalanan operasinya menggunakan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep
“Mudharabah” dan “Wakalah”.
Dalam kontrak
Takaful ini, peserta bersetuju untuk saling menjamin antara mereka. Ia berasaskan
kepada sifat persaudaraan, kasih sayang dan saling bantu membantu. Dikatakan
demikian kerana sumbangan wang yang diberikan oleh peserta akan dikumpulkan dan
wang tersebut digunakan untuk membayar pampasan kepada peserta yang mengalami
musibah atau kerugian.
Perbezaan antara Takaful dan
Insurans
Takaful dan
Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan bantuan kepada
peserta dalam bentuk kewangan. Namun di antara keduanya terdapat perbezaan yang
besar. Perbezaan yang wujud dapat dilihat daripada beberapa sudut berikut:
1. Hukum
Perniagaan Takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara
perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan
juga majlis-majlis fatwa lain. Perniagaan insurans mengandungi unsur Riba,
Maisir dan Gharar. Maka membeli polisi insurans dan segala hasil pendapatan
daripada syarikat inurans adalah haram.
1. Kontrak asas yang
digunapakai
Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak
pertukaran (Mu’awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful
menggunakan kontrak derma (Tabarru’)
1. Kontrak-kontrak
lain
Dalam Insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain
kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful, digunakan kontrak wakalah (agensi) dan
kontrak Mudharabah (perkongsian untung rugi)
1. Tanggung jawab
pemegang polisi
Peserta Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara
semua peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada
penanggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad di kalangan peserta
tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak di antara penginsurans dan
pemegang polisi.
1. Saluran pelaburan
Pelaburan kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan
yang diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas
syarikat-syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah. Penentuan ini
adalah berdasarkan senarai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhan Jaya
Sekuriti (SC).
Pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen
tidak mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas
syarikat perjudian dan arak.
1. Perjalanan operasi
1. Syarikat Takaful
mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggung jawab memberikan nasihat
terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain itu syarikat Takaful juga
mempunyai unit Syariah yang berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis
Penasihat Syariah. Syarikat insurans tidak mempunyai bahagian
penasihat Syariah kecuali Syarikat MCIS Zurich Insurance. Walaupun begitu,
penasihat Syariah ini hanya memberi nasihat dalam bebarapa perkara tertentu
sahaja. Namun perjalanan operasinya masih lagi peniagaan insurans konvensional.
2. Pengendali-pengendali
Takaful di Malaysia menggunakan dua model perniagaan Takaful iaitu model
Mudharabah (perkongsian untung rugi) dan model Wakalah (agensi). Kebanyakan
pengendali Takaful menggunakan model Wakalah dan model Mudharabah digunakan
oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad.
3. Segala hasil tidak
halal yang diperolehi oleh pengendali Takaful tidak akan dikira sebagai
pendapatan syarikat sebaliknya akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan.
Syarikat insurans tidak mempunyai unsur ini.
4. Pengendali Takaful
wajib membayar zakat perniagaan dan cukai tetapi syarikat insurans hanya
membayar cukai.
1. Aspek perundangan
Pengendali Takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984 sementara syarikat
insurans tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (pindaan 1996).
Sebelum kewujudan
Takaful, umat Islam terpaksa membeli polisi insurans. Tetapi kini dengan
wujudnya banyak syarikat pengendali Takaful, maka ia bukan lagi menjad
arternatif atau pilihan kepada umat Islam tetapi seharusnya umat Islam menolak
insurans konvensional dan menyertai Takaful. Mudah-mudahan industri Takaful dan
sistem kewangan Islam di Malaysia akan terus perkembang dengan subur agar dapat
memartbatkan Syariat Islam yang syumul.
No comments:
Post a Comment